Tuesday 23 June 2015

Serba Sedikit Tentang Scratch



Siapakah yang membangunkan Scratch?
Scratch merupakan projek di bawah dana US National Science Foundation (NSF) dan dibangunkan oleh The Massachusetts Institute of Technology (MIT) Media Lab’s Lifelong Kindergarten Group.

Apa itu Sratch?
Scratch ialah bahasa pengaturcaraan grafik yang boleh diguna secara percuma. Anda boleh menghasilkan cerita interaktif, permainan, muzik, seni dan persembahan multimedia dengan mengheret dan menitik blok berwarna. Anda juga boleh memuat naik ciptaan anda dengan pengatur cara dari seluruh dunia  melalui komuniti dalam talian http://scratch.mit.edu/.

Scratch direka cipta untuk pengaturcara novis.Daripada menaip arahan, pengaturcaraan yang digunakan dalam Scratch lebih mudah kerana dilakukan dengan mengheret dan mencantumkan blok pengaturcaraan sahaja. Antara muka grafik Scratch membolehkan pengguna mengawal dengan mudah kerana arahan yang berlainan jenis mampu bertindak balas antara satu sama lain. Tambahan pula, setiap blok hanya boleh muat dengan yang lain jika mereka berpadanan dalam konteks linguistik komputer. Set arahan yang boleh dikaitkan fungsinya dikategorikan dengan warna yang sama. 

Selain itu, oleh sebab program Scratch dijalankan dalam masa nyata, program tersebut boleh disunting dan diuji bila-bila masa sahaja walaupun program itu sedang berjalan. Hal ini membolehkan pengguna  mencuba idea baru berulang kali untuk penambahbaikan program mereka.


Laman Komuniti Web Dalam Talian Scratch
Scratch dalam talian memberi peluang kepada pengguna berkongsi projek Scratch mereka dengan kawan, keluarga, guru dan sebagainya dengan mudah. Apabila seseorang berkongsi bahan mereka dalam laman web Scratch, pengatur cara yang lain boleh mengubahsuai, memberi maklum balas dan sebagainya mengenai projek tersebut melalui komuniti Scratch dalam talian.
Langkah-langkah untuk menyertai komuniti Scratch adalah seperti berikut:
1.      Dalam laman web Scratch (http://scratch.mit.edu/), klik Join Scratch untuk mendaftarkan diri.
2.      Pilih username (elakkan daripada mengguna nama sebenar) dan mengisi maklumat yang diperlukan. 
3.      Pasukan pentadbir Scratch akan meminta alamat e-mel ibu bapa dan menghubungi penjaga mereka jika pengguna tersebut berumur bawah daripada 13 tahun

Ingat-ingat!
Sebagai ahli komuniti dalam talian Scratch, anda akan berkongsi projek dan buah fikiran dengan orang lain yang terdiri daripada usia dan tahap kemahiran pengaturcaraan yang berbeza. Oleh itu, kita sepatutnya menghormati orang lain, memberi komen yang membina, menjadikan komuniti dalam talian ini mesra dan menarik serta menjaga maklumat peribadi dan privasi diri dengan sebaik-baiknya.

1 comment:

  1. Play Baccarat with friends online - Worrione
    Play Baccarat online worrione with friends. Baccarat is a fast, fun and simple game septcasino that you can learn and play for free on kadangpintar Windows, Mac, Android and

    ReplyDelete